Penduduk Pekan Belaga
Rumah panjang merupakan simbol kehidupan masyarakat di Sarawak. Tedapat beberapa kawasan pedalaman kini sudah semakin membangun dan lebih moden berbanding dahulu. Hal ini hasil daripada pembangunan dan keprihatian kerajaan setempat terhadap penduduk sekitar. Senario kehidupan masyarakat rumah panjang di pedalaman juga menjadi lebih baik dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas serta akses pendidikan yang lengkap. Rumah-rumah panjang yang dihuni komuniti Orang Ulu kini mudah ditujui dan mempunyai pelbagai kemudahan infrastruktur awam seperti khidmat perubatan, pendidikan, agensi keselamatan dan jalan raya.
Sebelum sampai ke Pekan Belaga, terdapat beberapa buah rumah panjang yang akan dilewati seperti Uma sambop, Uma Nyaving Long Mejawah, Uma Apan Long Mejawah, Uma Kulit Long Mitik, Kejaman Lasah, Lahanan Long Semuang, Kejaman Neh Long Liten, Uma Kahei Long Mekero, Uma Aging Long Daah, dan Uma Aging Baling Abun. Manakala rumah panjang di hilir sungai pula ialah Long Amo, Long Dungan, Sekapan Piit, Sekapan Panjang, Punan Sama, Punan Bah dan Tanjung. Manakala, orang Melayu merupakan penduduk minoriti yang beragama Islam dan tinggal di persisiran Sungai Rajang di sekitar Pekan Belaga . Orang Melayu kerap kali kurang dikenali kewujudannya kerana bilangan yang sedikit berbanding dengan kaum yang lain.
Di Sungai Asap terdapat 15 buah rumah panjang yang telah dipindahkan ke penempatan semula. Antara rumah panjang tersebut ialah Uma Kulit, Uma Belun, Uma Daro, Uma Nyaving, Uma Kelap, Uma Lahanan, Uma Bawang, Uma Balui Liko, Uma Balui Ukap, Uma Bakah, Uma Penan, Uma Badeng, Uma Juman, Uma Lesong, Uma Ukit. Rumah-rumah panjang tersebut dipindahkan berikutan projek pembinaan Empangan Bakun pada 1998 dan 1999.
Empangan Bakun ini merupakan empangan terbesar di Asia Tenggara dan yang kedua tertinggi di dunia. Pembinaan empangan ini telah banyak memberi banyak manfaat kepada penduduk Belaga dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat setempat yang ternyata lebih baik, berbanding dengan apa yang terpaksa dilalui oleh penduduk ketika mendiami rumah panjang di Hulu Balui sebelum ini. Penduduk di Pekan Belaga kebanyakannya menganut agama Kristian, dan ada lagi sebilangan kecil masih mengamalkan amalan animisme ataupun lebih dikenali Bungan oleh masyarakat di Belaga.